Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, "Rasulullah saw berwasiat kepadaku dengan sabda Baginda":
"Ya Ali! Tidak ada kefakiran yang lebih
hebat daripada kebodohan. Tidak ada harta yang lebih berharga daripada
aqal. Tidak ada kesepian yang lebih sunyi daripada ujub (rasa kagum pada
diri sendiri). Tidak ada kekuatan yang lebih hebat daripada musyawarah.
Tidak ada wara' yang lebih baik daripada menahan diri. Tidak ada
keindahan selain akhlak dan tidak ada ibadah yang melebihi tafakur."
"Ya Ali! Segala sesuatu itu ada
penyakitnya. Penyakit berkata-kata adalah bohong. Penyakit ilmu adalah
lupa. Penyakit ibadah adalah riak. Penyakit akhlak adalah memuji diri
sendiri. Penyakit pemurah adalah menyebut-nyebut pemberian. Penyakit
bangsawan adalah merasa bangga. Penyakit malu adalah lemah. Penyakit
mulia adalah menonjolkan diri. Penyakit kaya adalah kikir dan
berlebih-lebihan, dan penyakit agama adalah hawa nafsu."
"Ya Ali! Perbanyakkanlah membaca Surah
Yassin, kerana dalam membacanya itu terdapat sepuluh macam keberkatan.
Tidak ada orang yang membacanya waktu lapar atau puasa melainkan
kenyang. Haus kecuali hilang hausnya. Tidak memiliki pakaian
melainkan ia akan memperolehi pakaian. Merasa takut kecuali datang rasa
aman. Di penjarakan melainkan ia akan keluar dari penjara. Bujang
melainkan ia akan berkahwin. Sewaktu musafir matanya menjadi terang
dalam perjalanan. Tidak membacanya orang yang kehilangan sesuatu benda
melainkan mendapatkannya kembali. Tidak dibacakan ia ke atas orang yang
akan hampir ajalnya melainkan diringankan baginya. Barangsiapa yang
membacanya di waktu subuh nescaya ia akan aman sehingga petang, dan
barangsiapa yang membacanya di waktu petang nescaya ia akan berada di
dalam keadaan aman sehinggalah waktu pagi."
"Ya Ali! Bacalah Surah Hammim Ad-Dukhaan pada malam Jumaat, nescaya Tuhan memberikan keampunan kepadamu."
"Ya Ali! Bacalah Surah Hasyar nescaya engkau berkumpul pada hari kiamat dalam keadaan aman dari segala sesuatu."
"Ya Ali! Bacalah Surah Tabaraka dan As-Sajadah nescaya berkat keduanya engkau diselamatkan Tuhan daripada bahaya hari kiamat."
"Ya Ali! Bacalah Qulhuwallahu Ahad dalam
keadaan engkau berwudhuk, nescaya engkau akan di seru pada hari kiamat;
Hai pemuji Tuhan! Bangkitlah, maka kemudian masuklah ke dalam syurga!"
"Ya Ali! Bacalah Surah Al-Baqarah,
kerana sesungguhnya dalam membacanya itu ada membawa keberkatan, dan
tidak mahu membacanya membawa penyesalan.
"Ya Ali! Janganlah engkau bersetubuh
dengan isterimu pada malam bulan sabit baru muncul, dan jangan pula pada
pertengahan bulan, kerana di khuatirkan anakmu akan cacat."
Aku (Ali) bertanya: Kenapa demikian ya
Rasulullah? Jawap Baginda: "Kerana Jin banyak mendatangi wanita-wanita
pada malam tengah bulan dan pada malam Hilal (bulan sabit). Apakah
engkau tidak perhatikan bahawa orang-orang gila itu boleh muncul
penyakitnya kembali pada malam tengah bulan dan malam Hilal itu?
"Ya Ali! Jauhilah sengketa, kerana ia akan menghapuskan amalan-amalan engkau."
"Ya Ali! Segeralah bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkah mendahului sedekah."
"Ya Ali! Jauhilah kemarahan, kerana syaitan menguasai anak cucu Adam dalam keadaan ia marah."
"Ya Ali! Jauhilah olok-olok, kerana hal itu akan menghilangkan kehebatan anak cucu Adam dan kesungguhannya."
" Ya Ali! Jauhilah riba, kerana padanya terdapat enam perkara, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga di dunia;
1. Ia akan cepat memusnahkan harta.
2. Ia akan melenyapkan kekayaan
3. Ia akan menghapuskan rezeki.
Adapun yang tiga di akhirat ;
1. Ia akan membawa buruk perhitungan (hisab).
2. Ia akan membawa kemurkaan Allah swt.
3. Kekal di dalam neraka."
"Ya Ali! Cintailah fakir miskin, nescaya Allah akan cinta pula kepadamu."
"Ya Ali! Janganlah engkau bentak fakir miskin, nescaya engkau akan di bentak pula oleh Malaikat pada hari kiamat."
"Ya Ali! Janganlah engkau abaikan sedekah, kerana ia akan menolak kejahatan dari dirimu."
"Ya Ali! Keluarkan infak hartamu dan
berikan kelapangan kepada keluargamu, dan janganlah khuatir terhadap
Tuhan yang memiliki Arasy bahawa Ia akan menyediakan kurnia-Nya
terhadapmu."
"Ya Ali! Janganlah berdusta, kerana
dusta itu menghitamkan muka. Bila seseorang sentiasa berdusta, dia akan
dinamakan disisi Tuhan "si pendusta", dan bila dia benar maka akan
dinamakan disisi Tuhan sebagai orang yang "benar" (siddiq). Sesungguhnya
berdusta itu akan menjauhkan Iman.
"Ya Ali! Kuasailah lisanmu dan
biasakanlah bicara yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi
manusia pada hari kiamat melebihi ketajaman lisannya."
"Ya Ali! Jauhilah sifat dengki, kerana dengki itu memakan segala kebajikan sebagaimana api memakan kayu bakar".
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan An-Nasa'i)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar